Pular para o conteúdo principal

Thiago sedia rantai Messi

Reaksi pertahanan Brazil, Thiago Silva ketika meraikan kejayaan layak ke semi final selepas menewaskan Paraguay. - Foto AFP

BELO HORIZONTE, Brazil: Meskipun Lionel Messi tidak berada pada tahap terbaiknya di Copa America,  namun pertahanan Brazil, Thiago Silva enggan rakan sepasukan lalai walau seminit dalam mengawal pergerakan kapten Argentina dalam perlawanan separuh akhir awal pagi Rabu ini.
“Dia pemain terbaik dunia dan masih mampu melakukan kebangkitan,” kata Silva pada sidang media awal pagi tadi menjelang pertemuan Copa pertama membabitkan kedua-dua pasukan sejak final 2007 yang menyaksikan Brazil menang 3-0.
“Kami akan sentiasa memerhatikannya ketika mendapat bola dan sebaliknya. Kadangkala dia hanya kelihatan berjalan ketika perlawanan tetapi dia sentiasa mencari ruang untuk melakukan serangan balas.
“Satu penghormatan dapat bersaing dengannya lagi dan kami akan cuba menghalang pergerakannya.”
Setakat ini, Messi hanya menjaringkan satu gol menerusi penalti dan mengakui tidak bermain pada tahap terbaiknya ketika menang 2-0 ke atas Venezuela pada suku akhir. 
“Sebenarnya saya belum beraksi pada tahap terbaik di Copa America, ia sentiasa sukar bagi kami kerana kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza,” katanya.
“Tiada siapa yang memberikan gol mudah dalam Copa, ia amat sukar bersaing kerana padang terlalu teruk, memalukan. Pergerakan bola seperti arnab, ia boleh menghala ke mana sahaja dan anda tidak boleh menggelecek,” kata Messi. – Reuters

Comentários