Pular para o conteúdo principal

Tiada Neymar, tiada masalah



KETIADAAN penyerang handalan Neymar akibat kecederaan tidak akan mengubah apa-apa buat Brazil pada saingan Copa America, kata pemain tengah Casemiro hari ini sambil menegaskan pasukan tuan rumah perlu menang tidak kira apa berlaku.
Neymar tidak akan beraksi dalam kejohanan utama di Amerika Selatan itu selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali pada aksi persahabatan skuad Selecao minggu lalu.
Kecederaan itu pula berlaku tatkala penyerang Paris Saint-Germain itu berdepan tuduhan oleh seorang model Brazil yang mendakwa pemain itu melakukan serangan seksual terhadapnya di sebuah hotel di ibu negara Perancis.
“Tidak kira apa saja kejohanan yang kami sertai, Brazil adalah pasukan pilihan dan mesti menang,” kata Casemiro menjelang aksi pembukaan menentang Bolivia di Sao Paolo awal pagi esok.
“Tidak syak lagi, biarpun tanpa Neymar, bintang utama Brazil, kami masih terlalu kuat,” tambah pemain Real Madrid itu.
Brazil menyasarkan gelaran Copa America kesembilan dan menjuarai empat edisi sebelumnya ketika bergelar tuan rumah iaitu pada 1919, 1922, 1949 dan 1989.
Namun mereka tidak pernah menjulang trofi berkenaan selepas 2007 apabila menang buat kali keempat dalam lima edisi sejak 1997.
“Kami tidak boleh mengelak daripada tanggungjawab,” kata jurulatih, Tite.
“Kami sedar yang kami perlu lakukan selangkah demi selangkah untuk menjulang gelaran.”
Biarpun mengakui kehilangan ‘salah seorang daripada tiga pemain terhebat dunia” memberi tamparan kepadanya, beliau berkata skuad itu tidak memikirkan mengenai ketiadaan Neymar.

Comentários