Pular para o conteúdo principal

Tite bangga dengan pencapaian Brazil

PEMAIN Brazil, Gabriel Jesus (Kiri) dikawal oleh pemain Peru,
PEMAIN Brazil, Gabriel Jesus (Kiri) dikawal oleh pemain Peru, Luis Abram dalam aksi Copa Amerika di Corinthians Arena, Sao Paulo, Brazil awal pagi tadi. - AFP
SAO PAULO - Jurulatih Brazil, Tite memuji semangat juang dalam pasukannya apabila menyaksikan tuan rumah melangkah ke saingan suku akhir Copa Amerika selaku pemenang Kumpulan A selepas menewaskan Peru dengan keputusan 5-0.
Brazil telah dicaci oleh penyokong sendiri sewaktu aksi pembukaan peringkat Kumpulan A namun semua itu tidak menghalang pasukan berkenaan beraksi cemerlang apabila meraih kemenangan 3-0 ke atas Bolivia, seri 0-0 ke atas Venezuela sebelum menamatkan aksi menentang Peru.
“Kami amat kreatif, tepat dan sangat klinikal.
“Bagi saya ini adalah aksi yang amat baik buat pasukan,” kata Tite.
Dalam perlawanan tersebut lima gol Brazil dijaringkan oleh Casemiro pada minit ke-12, Roberto Firmino pada minit ke-19, Everton Soares pada minit ke-32, Daniel Alves pada minit ke-53 serta William Borges da Silva pada minit ke-90.
Brazil akan beraksi dalam saingan suku akhir pada Jumaat ini.
Sekiranya Brazil mampu muncul juara maka ia akan menjadi kejuaraan kali kesembilan buat pasukan itu dalam kempen Copa Amerika.
Sebelum ini Brazil telah memenangi kejohanan berkenaan pada 1919, 1922, 1949, 1989, 1997, 1999, 2004 dan 2007. - AFP

Comentários