Pular para o conteúdo principal

Tite enggan hakimi Neymar

Jurulatih skuad kebangsaan Brazil, Tite pada sidang akhbar di Komplek sukan Granja Comary di Brazil. - Foto AFP
TERESOPOLIS, Brazil: Jurulatih skuad kebangsaan Brazil, Tite berkata beliau ‘tidak akan menghakimi’ pemain bintangnya, Neymar yang berdepan tuduhan merogol.
Pemain kelab juara Perancis, Paris Saint-Germain itu sebelum ini menegaskan dakwaan berkenaan adalah cubaan untuk memeras ugutnya.
“Saya faham betapa seriusnya isu ini,” kata Tite. “Tetapi kita perlu memberikan masa untuk orang memberikan hujah mereka. Saya tidak akan membiarkan diri saya menjadi hakim.”
Skuad Brazil ketika ini menjalani kem latihan di luar Rio sebagai persediaan menghadapi kempen Copa America yang bermula 14 Jun hingga 7 Julai ini, di sini.
“Kebenarannya masih belum jelas,” kata Tite. “Hanya masa akan memberikan kamu jawapan. Tetapi pasukan melebihi segala-galanya. 
“Selama tiga tahun saya melatih Neymar, semua isu peribadi kami menanganinya secara adil dan kejujuran. Neymar pemain yang menakjubkan. Daripada sudut taktikal, dia amat diperlukan,” katanya tetapi turut menambah ia bukan bermakna pemain itu tidak boleh digantikan.
Skandal dakwaan rogol berkenaan timbul apabila laporan media tempatan memaparkan seorang wanita membuat laporan kepada polis Sao Paolo menuduh Neymar, 27, merogolnya di sebuah hotel di Paris, 15 Mei lalu.
Neymar kemudian memberi penjelasan menerusi video di laman Instagram untuk menafikan dakwaan itu sambil menegaskan dia adalah mangsa pemerasan dan kecewa dengan tuduhan yang menjejaskan reputasi diri serta keluarganya.
Polis Sao Paulo mengesahkan pertuduhan itu sudah difailkan tetapi berkata perincian mengenai kes berkenaan adalah sulit.
Selain tuduhan rogol, Neymar turut disiasat oleh polis di Rio susulan tindakannya memaparkan video bukti berkenaan kerana ia melanggar undang-undang Brazil. - AFP

Comentários