TITE
LONDON - Tite menafikan sekeras-kerasnya berhubung laporan yang mengatakan Brazil menggunakan drone untuk mengintai Peru menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan Copa America, esok (pukul 3 pagi waktu Malaysia).
Akhbar Peru, Libero kelmarin mendakwa Brazil menghantar drone untuk mengintip skuad bimbingan Ricardo Gareca yang menjalani latihan bagi menghadapi saingan Kumpulan A di Sao Paolo, minggu ini.
Tite, yang seri tanpa jaringan ketika berdepan Venezuela dalam perlawanan terdahulu, menafikan laporan tersebut, dengan memberitahu dia tidak melakukan sebarang pengintipan, malah giat membuat persediaan untuk memenangi perlawanan terakhir kumpulan.
“Ambil kata-kata saya yang jujur ini bahawa saya tidak melakukannya, saya bercakap benar.
“Jika anda membuat sedemikian (intip menerusi drone) semata-mata mahukan kemenangan, saya pakai topi dan pulang ke rumah,” katanya dalam sidang akhbar menjelang pertembungan tersebut.
Brazil mendahului Kumpulan A biarpun berkongsi empat mata dengan Peru, manakala Venezuela ketiga (dua mata) diikuti Bolivia (tiga mata).- AGENSI
Comentários
Postar um comentário