
Reaksi jurulatih Brazil, Tite ketika pasukan bimbingannya menentang Venezuela pada aksi kedua Kumpulan A Copa America 2019, hari ini. - Foto AFP
SALVADOR, Brazil: Jurulatih Brazil, Tite enggan ‘menangisi’ keputusan seri tanpa jaringan yang dilakar skuad kendaliannya ketika bertemu Venezuela pada aksi kedua Kumpulan A Copa America 2019 yang direncatkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR), pagi tadi.
Tuan rumah, Brazil menyangka mereka sudah meraih tiket ke suku akhir apabila Philippe Coutinho memecah kebuntuan pada minit ke-87 tetapi ia dibatalkan menerusi VAR.
Ia kali kedua pengadil dari Chile, Julio Bascunan membatalkan jaringan oleh Brazil selepas turut menafikan gol yang diledakkan pemain gantian, Gabriel Jesus kerana ofsaid.
Ketika ditemui selepas perlawanan, Tite berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan VAR sekali pun teknologi itu jelas tidak memihak pasukannya.
“Mereka melakukan keputusan yang tepat dengan kedua-dua gol berkenaan,” kata Tite. “VAR itu tepat. Saya benar-benar tiada sebarang tuntutan, ia keadilan.”
Keputusan di Arena Fonte Nova itu sekali lagi menunjukkan Brazil merasai khidmat penyerang sensasinya, Neymar yang tersisih susulan kecederaan.
“Kami tidak memiliki kreativiti yang kami harapkan,” katanya. “Pasukan sedikit cemas daripada aspek itu. Kami perlu meningkat, kami tergesa-gesa ketika melakukan penyudah dan kami tidak benar-benar menguji penjaga gol mereka.”
Brazil meninggalkan padang dengan ejekan daripada peminat tetapi masih mengungguli Kumpulan A selepas mengutip empat mata daripada dua perlawanan.
Jurulatih Venezuela, Rafael Dudamel dalam pada itu menyifatkan persembahan pasukannya sebagai ‘hampir sempurna’.
“Hari ini amat penting, tetapi keputusan ini tidak akan memberi sebarang makna jika kami gagal layak ke pusingan berikutnya,” kata Dudamel. - AFP
Comentários
Postar um comentário