
DIEGO Maradona
LONDON: Legenda Argentina, Diego Maradona melancarkan ‘serangan’ terbaru terhadap skuad kebangsaannya susulan kekalahan Albiceleste kepada Colombia pada kempen Copa America 2019, minggu lalu.
Naib juara edisi 2015 dan 2016 itu memulakan kejohanan sebagai salah satu calon pilihan juara dalam usaha menjulang trofi yang kali terakhir dijulang pada 1993.
Begitupun, jaringan pada babak kedua Roger Martinez dan Duvan Zapata mengesahkan kemenangan Colombia dalam aksi pembukaan Kumpulan B di El Salvador, kemenangan pertama mereka ke atas Argentina sejak 12 tahun lalu.
Kekalahan meninggalkan skuad kendalian Lionel Scaloni yang turut dikuatkan dengan bintang Barcelona, Lionel Messi kedudukan tercorot Kumpulan D selepas Paraguay terikat 2-2 dengan Qatar, semalam.
Ia jelas permulaan yang mengecewakan buat Argentina yang turut menyenaraikan deretan bintang seperti Messi, Angel Di Maria dan penyerang Manchester City, Sergio Aguero.
Sejak memenangi Copa America pada 1993, Argentina terus kempunan menjulang gelaran utama dan dikecewakan dua kali menerusi penalti oleh Chile di final 2015 dan 2016 selain tunduk kepada Jerman di final Piala Dunia 2014.
Ditemui selepas perlawanan Maradona, yang menjadi wira Argentina memenangi Piala Dunia 1986 tidak dapat menahan dirinya daripada menghambur kritikan pedas sambil mempersoal keinginan dan kemampuan skuad kebangsaan.
“Kamu menyedari yang Tonga boleh menewaskan kami,” kata Maradona. “Kami mempunyai prestij yang kami bina dengan menendang dan menumbuk.
“Mari ingat kembali yang apabila kami meninggalkan Peru, bas kami dirosakkan. Apa yang tinggal selepas semua itu? Apakah maknanya jersi itu? Kamu perlu merasainya.”
Sekali pun memiliki deretan pemain berstatus bintang yang mencipta pelbagai kejayaan di peringkat kelab, pemain Argentina gagal mengulangi kejayaan itu bersama skuad kebangsaan.
Maradona, 58, kembali ke negara kelahirannya selepas melepaskan jawatan sebagai jurulatih kelab bola sepak Mexico, Dorados de Sinaloa atas alasan perubatan.
Lawan Argentina berikutnya ialah Paraguay di Belo Horizonte, Khamis ini. - AGENSI
Comentários
Postar um comentário