Pular para o conteúdo principal

Uruguay bermula garang


BELO HORIZONTE, Brazil - Luis Suarez dan Edinson Cavani meledak gol untuk mengetuai kemenangan besar 4-0 Uruguay ke atas Ecuador dalam aksi pembukaan Kumpulan C, Copa America hari ini.
Beraksi dengan 10 pemain nyata menyukarkan Ecuador, apatah lagi lawan mereka adalah pasukan pilihan yang memegang rekod kejuaraan terbanyak - 15 kali.
Uruguay hanya memerlukan enam minit pertama permainan untuk membuka jaringan menerusi Nicolas Lodeiro, sebelum bek tengah Ecuador, Jose Quintero diarah keluar padang susulan layangan kad merah pada minit ke-24.
Kelebihan itu dimanfaatkan oleh Uruguay dalam aksi yang hanya ditonton 13,000 penonton di Stadium Mineirao apabila Cavani dan Suarez masing-masing menyumbat gol pada babak pertama.
Gol keempat yang diperoleh pada separuh masa kedua berpunca daripada jaringan sendiri pemain Ecuador, Arturo Mina, 12 minit sebelum tamat perlawanan.
Kemenangan itu adalah permulaan sempurna buat Uruguay yang diundi dalam kumpulan yang turut diisi penyandang juara, Chile dan Jepun yang akan bertemu di Sao Paulo, esok.
''Selepas layangan kad merah diberikan kepada pemain lawan, perlawanan menjadi lebih terbuka dan kami menguasai saingan.
"Ia amat penting untuk memenangi perlawanan pembukaan. Kami akan cuba memperbaiki permainan dalam aksi seterusnya," kata Lodeiro. - AGENSI

Comentários