Pular para o conteúdo principal

Uruguay ‘pakai otak’ jinakkan Chile

Tandukan Edinson Cavani (dua dari kiri) menewaskan penjaga gol
Tandukan Edinson Cavani (dua dari kiri) menewaskan penjaga gol Chile, Gabriel Arias untuk membantu Uruguay menang 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C Copa America di Rio de Janeiro awal hari ini. - AFP
RIO DE JANEIRO - Uruguay mempamerkan sikap dan mentaliti yang betul ketika menewaskan juara bertahan, Chile 1-0 untuk muncul juara Kumpulan C, kata penjaring gol kemenangan, Edinson Cavani.
Penyerang Paris Saint Germain (PSG) itu menanduk masuk gol tunggal perlawanan ketika permainan berbaki lapan minit lagi untuk ditamatkan sekaligus menjadi garis pemisah antara kedua-dua pasukan.
“Ada masa kami bermain baik dan ada masa bermain agak kurang baik. Tetapi yang pasti menggunakan sikap dan mentaliti yang mampu merampas keputusan perlawanan,” kata pemain berusia 32 tahun itu.
Bagaimanapun untuk menganggap lawan mereka di suku akhir iaitu Peru adalah mudah, ia bukan pendekatan yang diamalkan pasukan Uruguay dalam menilai kemampuan lawan yang bakal dihadapi.
“Kami hanya mahu muncul juara kumpulan tanpa memperdulikan siapa lawan kami selepas ini. Yang penting tunjukkan imej baik dan terus kekalkan sikap dan mentaliti seperti sekarang,” tambahnya.
Chile walaupun menurunkan penyerang utamanya, Alexis Sanchez akur dengan kekuatan dalaman Uruguay dalam perlawanan yang seimbang dan sengit tersebut.
“Kami kalah kepada kekuatan yang dimiliki Uruguay. Tidak dinafikan ia perlawanan yang sengit. Kami tahu kualiti yang dimiliki pasukan lawan kerana sistem permainan mereka yang sukar dibaca,” kata jurulatih Chile, Reinaldo Rueda.
Chile akan menentang Colombia di suku akhir dan mereka perlu bangkit untuk meneruskan cabaran walaupun menyedari ia adalah satu perlawanan yang sukar. - AFP

Comentários