
Pemain Venezuela, Luis Del Pino (kanan) bersaing dengan pemain Peru, Luis Advincula pada perlawanan Kumpulan A Copa America 2019, awal pagi tadi. - Foto AFP
PORTO ALEGRE, Brazil: Venezuela yang beraksi dengan 10 pemain berikutan penyingkiran Luis Mago mengikat Peru 0-0 yang dua jaringannya dibatalkan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) pada aksi Kumpulan A Copa America 2019, awal pagi tadi.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dan menghuni tangga kedua di belakang tuan rumah, Brazil yang sebelum ini meraih kemenangan selesa 3-0 terhadap Bolivia.
Peru memulakan perlawanan dengan lebih baik pada aksi di Stadium Gremio Arena di Porto Alegre yang hampir kosong tetapi mereka dua kali dinafikan jaringan susulan ofsaid menerusi penilaian semula VAR.
“Ia perlawanan yang sukar, kami tahu ia pasti rumit, Venezuela sudah banyak meningkat,” kata pertahanan Peru, Carlos Zambrano.
Seperti dijangka sebelum perlawanan, penjaga gol Venezuela, Wuilker Farinez terpaksa bekerja keras bagi menjaga gawangnya daripada dibolosi sekali pun dia turut melakukan beberapa kesilapan.
“Ia keputusan seri yang penting, agak mengecewakan kami tidak menang tetapi itulah bola sepak, kami perlu meneruskannya,” kata Farinez yang turut menarik minat gergasi Sepanyol, Barcelona menurut laporan media.
“Keputusan seri ini amat berharga untuk kami dan kini kami perlu memperbaiki perinciannya sebelum melawan Brazil,” kata pemain berusia 21 tahun itu.
Peru memecah kebuntuan selepas tujuh minit perlawanan berlangsung berpunca daripada sepakan percuma Yoshimar Yotun yang kemudian disambut Christofer Gonzales tetapi ia dinafikan oleh VAR.
Pada minit ke-63, Peru sekali lagi menggegar gawang menerusi Jefferson Farfan tetapi ia sekali lagi dinafikan oleh VAR sebelum Venezuela terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Mago dilayangkan kad kuning kedua susulan kekasaran tidak sepatutnya. - AFP
Comentários
Postar um comentário