Pular para o conteúdo principal

VAR buat Brazil kempunan

Pemain Brazil Philippe Coutinho meraikan jaringan golnya yang dibatalkan menerusi keputusan VAR ketika menentang Venezuela pada aksi Copa America, sebentar tadi. - Foto REUTERS
SALVADOR, Brazil: Brazil diikat 0-0 oleh Venezuela pada aksi Copa America 2019, sebentar tadi ketika jaringan lewat Philippe Coutinho dibatalkan menerusi keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Coutinho berfikir dia sudah membawa Brazil ke suku akhir pada minit ke-87 apabila menyempurnakan hantaran menarik Everton Soares pada aksi di Arena Fonte Nova.
Tetapi buat buat kali kedua dalam perlawanan itu, pengadil dari Chile, Julio Bascunan membatalkan jaringan berkenaan selepas menerima pandangan daripada VAR.
Jaringan itu dibatalkan selepas ia turut disentuh oleh penyerang Liverpool, Roberto Firmino, sekali pun tidak jelas yang pemain itu berada di kedudukan ofsaid sebelum bola menerjah gawang.
–– ADVERTISEMENT ––

Brazil meninggalkan padang dengan ejekan tetapi masih menghuni tangga teratas Kumpulan A selepas mengutip empat mata daripada dua perlawanan.
Venezuela pula mengumpul dua mata daripada dua perlawanan dan turut berpeluang untuk layak jika meraih kemenangan pada aksi terakhir melawan Bolivia, yang mengharungi kekalahan kedua selepas tewas 1-3 kepada Peru.


PEMAIN Brazil kecewa selepas terikat 0-0 dengan Venezuela pada aksi Copa America 2019. - Foto REUTERS
Brazil yang terdesak sebelum merakam kemenangan ke atas Bolivia pada aksi pembukaan sekali lagi bergelut untuk mencipta peluang menentang pasukan yang bertahan dengan baik.
Ancaman daripada penyerang Liverpool, Firmino berjaya ‘dilenyapkan’ oleh pertahanan Venezuela, Yordan Osorio dan Mikel Villanueva dengan Brazil hanya mampu melakukan satu cubaan tepat ke gawang pada babak pertama sekali pun memiliki 75 peratus penguasaan.
Tuan rumah sekali lagi meninggalkan padang dengan ejekan selepas babak pertama berakhir dan pengendali, Tite tidak menunggu lama untuk melakukan perubahan dengan memasukkan penyerang Manchester City, Gabriel Jesus menggantikan Richarlison.
Jesus mencetus impak serta merta apabila memecah kebuntuan gol tetapi suasana pesta itu hanya seketika selepas ia dibatalkan oleh VAR berikutan posisi Firmino yang ofsaid.
Selepas sekali lagi dihampakan VAR, Brazil hampir memecah kebuntuan pada masa kecederaan menerusi Fernandinho tetapi cubaannya turut tersasar. - AFP

Comentários