Pular para o conteúdo principal

VAR nafi kemenangan Brazil

Pemain Brazil, Filipe Luis (kiri) dan Philippe Coutinho terkejut
Pemain Brazil, Filipe Luis (kiri) dan Philippe Coutinho terkejut
Pemain Brazil, Filipe Luis (kiri) dan Philippe Coutinho terkejut dan kecewa selepas jaringan pasukan itu dibatalkan pengadil selepas merujuk VAR dalam aksi Kumpulan A Piala Copa America awal pagi tadi. - AFP
SALVADOR, Brazil - Brazil kempunan mencatat kemenangan kedua pada kempen peringkat Kumpulan A Piala Copa America di sini awal hari ini apabila jaringan lewat permainan Philippe Coutinho dibatalkan video pembantu pengadil (VAR).
Ini menyaksikan pasukan tuan rumah terpaksa berpuas hati seri 0-0 dengan Venezuela tetapi masih kekal sebagai pendahulu kumpulan di depan pasukan di tangga kedua, Peru yang turut mengumpul empat mata daripada dua perlawanan setakat ini.
Paling kecewa sudah pasti Coutinho yang menyangka sudah membawa pasukannya layak ke pusingan kedua sebaik menjaringkan gol pada minit ke-87 itu tetapi kemudian mendapati VAR menjadi penghalang.
Gol tersebut tidak dibenarkan kerana VAR menunjukkan bola telah terlebih dahulu disentuh Roberto Firmino yang didakwa berkedudukan ofsaid sebelum terkena Coutinho dan terus menerjah masuk ke gawang Venezuela.
Pengadil dari Chile, Julio Bascunan tidak teragak-agak membatalkannya. Ini gol kedua yang dibatalkannya dalam perlawanan itu. Sebelum itu Bascunan turut membatalkan gol jaringan Firmino pada minit ke-38 tetapi bukan dengan bantuan VAR.
Sebaliknya dia membuat keputusan sendiri kerana mendapati salah seorang pemain Venezuela telah dikasari terlebih dahulu sebelum gol Firmino itu menyusul.
Brazil yang menguasai 75 peratus permainan bagaimanapun terus buntu mencari jaringan selepas itu selepas mendapati Venezuela bermain dengan tersusun dan penuh disiplin ketika bertahan.
Ini menyaksikan sekali lagi skuad bimbingan Tite diejek penyokong sendiri sama ada ketika berakhir babak pertama mahu pun ketika berakhir 90 minit permainan sebenar. - AFP

Comentários