
MATIAS Vecino. - Foto AFP
BELO HORIZONTE, Brazil: Pemain tengah berpengaruh Uruguay, Matias Vecino akan terlepas semua perlawanan Copa America selepas pasukan bergelar Celeste itu membelasah Ecuador 4-0.
Pemain Inter Milan itu mengalami kecederaan hamstring pada penghujung perlawanan pembukaan Kumpulan C, semalam.
Pemain berusia 27 tahun itu dihantar menjalani pemeriksaan perubatan ketika pemain lain skuad berkenaan berlatih hari ini dan doktor mengesahkan ia kecederaan  hamstring.
“Keputusan imbasan mendapati kecederaan terhadap bahagian hamstring, yang menyebabkan dia tidak akan bermain dalam baki kejohanan,” kata kenyataan Persatuan Bola Sepak Uruguay.
Bos Uruguay, Oscar Tabarez mengakui ketika sidang akhbar selepas perlawanan bahawa dia bimbang dengan kecederaan Vecino.
Tabarez berkata dia merancang memberikan Luis Suarez beberapa minit rehat ketika dia terpaksa membawa masuk pemain Real Madrid, Federico Valverde menggantikan Vecino pada penghujung permainan.
Suarez sebelum itu menjaringkan gol ke-57 miliknya buat Uruguay.
Uruguay akan berdepan pendatang baharu Copa America, Jepun pada perlawanan seterusnya Jumaat ini yang boleh memberi peluang buat Valverde atau pemain Arsenal, Lucas Torreira menempatkan diri dalam kedudukan berkenaan. - AFP
Comentários
Postar um comentário