
AKSI penyerang Venezuela, Josef Martinez ketika menentang Bolivia pada saingan Kumpulan A Copa Amerika di StadiumMineirao. - Foto Reuters
BELO HORIZONTE, Brazil: Venezuela dihormati dunia bola sepak apabila layak ke suku akhir Copa Amerika dengan kemenangan 3-1 ke atas Bolivia awal pagi tadi, kata penyerangnya Josef Martinez.
Selepas keputusan seri tanpa jaringan dengan tuan rumah Brazil pada Selasa, Venezuela turun ke Belo Horizonte untuk memburu kemenangan yang akan membawa mereka ke peringkat kalah mati.
Darwin Machis meledak dua kali dan selepas Leonel Justiniano merapatkan jurang, Martinez melebarkan kembali kedudukan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah Venezuela di peringkat kumpulan dan berada di tangga kedua di belakang Brazil dalam Kumpulan A.
Mereka akan berdepan naib juara Kumpulan B – kemungkinan Argentina – di Maracana pada Jumaat (awal pagi Sabtu).
“Kami dihormati setiap orang. Kami menghadiahkan kemenangan ini kepada negara kami, yang sentiasa memerhati kami,” kata Martinez.
“Sekarang kami perlu terus mara. Kami tidak memikirkan tentang siapa lawan kami selepas ini, kami hanya fikirkan tentang diri kami.”
Kemaraan skuad yang digelar The Vinotinto itu memberi nafas baharu buat Venezuela yang dilanda krisis ekonomi dan pergelutan politik antara kerajaan dan pembangkang.
Selepas tewas dua perlawanan awal kumpulan, Bolivia terdesak mencari kemenangan untuk menghidupkan kembali peluang ke pusingan seterusnya.
Namun hanya selepas dua minit mereka dibolosi.
“Inilah realiti bola sepak Bolivia. Terimalah realiti ini, apa yang boleh kami buat? Bekerja keras,” kata pengendali Bolivia Eduardo Villegas. – AFP
Comentários
Postar um comentário