
ALVES (tengah) bersama Piala Copa America yang juga trofi ke-40 yang dimenangi sepanjang kariernya. - Foto REUTER
LONDON: Dani Alves memerlukan satu trofi sahaja lagi untuk menyamai rekod bintang Mesir, Hossam Hassan sebagai pemain terbanyak merangkul trofi sepanjang kerjaya.
Alves melengkapkan trofi ke-40 kejuaraan sepanjang 18 tahun dalam kerjayanya bersama kelab dan negara selepas membantu Brazil muncul juara Copa America di hadapan penonton yang hadir di Stadium Maracana, awal pagi Isnin lalu.
Jumlah itu menyaksikan pemain pertahanan kanan Paris Saint Germain (PSG) itu hanya ketinggalan satu trofi daripada Hossam.

Sebagai rekod, Alves pernah beraksi bersama lima kelab termasuk gergasi Sepanyol, Barcelona selain meraih 115 kap dengan Brazil.
Alves memulakan kerjaya bersama kelab Brazil, Bahia sebelum berpindah ke Sevilla pada 2002.
Susulan perpindahan itu, pemain yang turut beraksi di sayap kanan itu mula mengumpul trofi kejuaraan.
Dia berjaya memenangi gelaran domestik bagi saingan liga dan piala bersama Barcelona, Juventus dan PSG.
Pemain berusia 36 tahun itu memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara ketika beraksi bersama Barcelona pada 2009, 2011 dan 2015.
Alves turut menikmati kejayaan bersama skuad kebangsaan Brazil dengan memenangi Copa America pada 2007 dan dua kali muncul juara Piala Konfederasi 2009 dan 2013. - AGENSI
Comentários
Postar um comentário