Reaksi kecewa pemain Argentina apabila gagal mara ke final selepas tewas 0-2 kepada Brazil pagi semalam.
BELO HORIZONTE - Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni menegaskan pasukan bimbingannya lebih layak mara ke perlawanan akhir Kejohanan Copa America 2019 meskipun tewas 0-2 kepada Brazil pada aksi separuh akhir di Stadium Mineirao pagi semalam.
Meskipun melakukan 14 percubaan pada perlawanan tersebut, skuad La Albicelesteitu masih gagal untuk menembusi pintu gol Brazil yang dikawal rapi penjaga gol Liverpool, Alisson.
Scaloni berkata, mereka sepatutnya menjadi pasukan yang mara ke final jika bukan disebabkan keputusan pengadil perlawanan yang tidak memberi dua sepakan penalti kepada skuad kendaliannya.
“Jika dilihat kepada prestasi, pasukan yang sepatutnya layak ke perlawanan akhir adalah Argentina kerana kami menampilkan aksi lebih baik berbanding Brazil. Semua pemain kami sudah menunjukkan mengapa mereka layak menyarung jersi ini.
“Kami telah meletakkan satu penanda aras kepada generasi-generasi baharu bola sepak Argentina dan saya harap mereka boleh meneruskan kecemerlangan ini. Kami sudah melakukan yang terbaik pada perlawanan ini,” kata Scaloni.
Dalam pada itu, Scaloni enggan mengulas lanjut mengenai masa depannya bersama Argentina.
“Saya fikir ini bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai masa depan saya. Buat masa ini, saya langsung tidak berasa bimbang kerana fokus utama adalah untuk bersama-sama pemain,” ujarnya. – Agensi
Comentários
Postar um comentário