Pular para o conteúdo principal

Brazil hilang khidmat Willian di final

WILLIAN
RIO DE JANEIRO: Pemain tengah Brazil, Willian terpaksa diketepikan bagi aksi final Copa America, Ahad ini selepas mengalami kecederaan hamstring, kata tuan rumah kejohanan itu, hari ini.
Bintang Chelsea berusia 30 tahun itu dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Selecao melakar kemenangan 2-0 ke atas Argentina pada aksi separuh akhir, semalam bagi menggantikan Everton.
Jurucakap Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) berkata Willian mengadu “sakit di bahagian hamstring” dan didapati mengalami “ketegangan otot” selepas menjalani ujian, semalam.
Media Brazil berkata dia mengalami kecederaan ketika perlawanan menentang Argentina.
CBF berkata tempoh pemulihan diperlukan bagi merawat kecederaan berkenaan yang bermakna Willian terpaksa melupakan aksi final.
Juara lapan kali Copa America, Brazil mara ke final ke-20 tetapi kejuaraan terakhir diraih gergasi Amerika Selatan itu ialah pada 2007 dengan menundukkan Argentina 3-0.
Willian tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi kelima-lima perlawanan untuk Brazil setakat ini tetapi dimasukkan sebagai pemain gantian bagi empat aksi termasuk ketika menewaskan Peru 5-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
Dia yang memiliki 69 penampilan bersama skuad kebangsaan turut menyempurnakan penalti ketika Brazil menyingkirkan Paraguay di suku akhir. - AFP

Comentários