PENGADIL, Mario Diaz de Vivar melayangkan kad merah kepada Messi (dua dari kiri) dan Medel (dua dari kanan) pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Copa America di Arena Corinthians semalam.
SAO PAULO, Brazil - Kapten Argentina, Lionel Messi menyifatkan bola sepak sebagai tidak adil buat pasukannya selepas skuad La Albiceleste menamatkan saingan di kedudukan ketiga pada Copa America selepas menewaskan Chile 2-1 di Arena Corinthians awal pagi semalam.
Penyerang Barcelona tersebut terpalit dengan kontroversi pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat apabila dia diarahkan meninggalkan padang apabila dilayangkan kad merah bersama Gary Medel selepas kedua-dua pemain berkenaan bertelagah pada minit ke-36 perlawanan.
Situasi berkenaan menyebabkan Messi enggan menyertai pasukan Argentina pada upacara menerima medal sebaik sahaja tamat perlawanan.
Messi mengakui kecewa apabila misi pasukan disekat oleh ketidakadilan terhadap skuad kendalian Lionel Scaloni pada saingan Copa America di Brazil.
“Kami meninggalkan kempen Copa America 2019 dengan kemenangan, namun tetap merasakan semuanya yang berlaku seolah-olah bola sepak tidak adil buat Argentina.
“Ia disebabkan kami bermain lebih baik berbanding Brazil bahkan Argentina sememangnya lebih layak untuk ke pentas final,” kata Messi.
Pada masa sama, Messi menempelak Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) yang dianggap menerima rasuah dan telah mengatur segala perlawanan Copa America untuk kejayaan Brazil.
“Saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada individu yang menerima rasuah, begitu juga pasukan pada kempen Copa America.
“Argentina sepatutnya boleh pergi lebih jauh, namun disebabkan rasuah dan pengadil perlawanan, kenikmatan untuk menyaksikan bola sepak terjejas,” katanya.
Pada aksi semalam, Sergio Aguero dan Paulo Dybala terlebih dahulu meletakkan Argentina di depan pada babak pertama sebelum Chile cuba melakukan kebangkitan pada babak kedua, namun sekadar memperoleh satu gol menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Arturo Vidal. – Agensi
Comentários
Postar um comentário