Pular para o conteúdo principal

Copa America 'ubah' kehidupan saya - Everton

Everton (kanan) ketika sesi latihan di pusat latihan Granja Comary, di Teresopolis, Brazil. - Foto Reuters

RIO DE JANEIRO: Sensasi baharu Brazil, Everton mengakui kehidupannya berubah selepas prestasi hebatnya di Copa America menjadikannya tumpuan global termasuk spekulasi perpindahan lumayan ke Eropah.
Selepas cemerlang membantu Brazil mara ke final, pemain berusia 23 tahun itu memperoleh satu lagi peluang untuk mengukuhkan namanya ketika tuan rumah dijadual melawan Peru di Stadium Maracana, awal pagi Isnin ini.
“Kehidupan profesional dan peribadi saya berubah. Saya dikenali di seluruh dunia,” kata Everton yang turut diberi gelaran Cebolinha atau bawang kecil berikutan penampilannya gaya rambutnya yang menyerupai watak kartun tufty.
“Saya cuba untuk memanfaatkannya dan menggunakan sepenuhnya masa ini untuk karier saya, dan berharap untuk menjulang kejuaraan di final.”
Persembahan pemain yang namanya diinspirasi dari kelab England, Everton itu dilaporkan mendapat perhatian juara Inggeris, Manchester City, Manchester United dan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain.
Tetapi Everton, yang bermain bersama kelab Brazil, Gremio menegaskan jika dia membuat keputusan berpindah ke Eropah, corak permainan tradisi samba tidak akan diketepikan.
Katanya, pemain Brazil dan bola sepak dunia ketika ini sudah “terikat kepada bola sepak Eropah” dari sudut gaya taktikal, yang disifatkannya berbeza dengan karakter samba iaitu menggelecek, satu lawan satu.
“Jadi saya akan cuba melakukannya, iaitu perkara yang saya lakukan sejak saya masih kecil dan juga DNA bola sepak Brazil, dengan tanggungjawab dan meningkat secara taktikal tetapi tidak akan melupakan karektor saya, menggelecek.”
Everton bermula di bangku simpanan pada dua perlawanan awal peringkat kumpulan dan meledak gol selepas dimasukkan ketika Brazil melawan Bolivia.
Dia kemudian dinaikkan pangkat dalam kesebelasan utama, yang dikekalkan sehingga aksi separuh akhir dan  meledak ketika Brazil menewaskan Peru 5-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
Tetapi Everton berkata dia tidak menjangkakan akan mendapat layanan sama daripada Peru, yang tampak seperti ‘membunuh diri’ pada aksi berkenaan berikutan permainan yang ditunjukkan ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas penyandang juara, Chile semalam.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sudah tentu berbeza. Kami perlu bersedia untuk bermain dengan amat baik.” - AFP

Comentários