Pular para o conteúdo principal

Gareca tabik daya tahan Peru

RICARDO Gareca. - Foto Reuters
PORTO ALEGRE, Brazil: Jurulatih Peru, Ricardo Gareca memuji kemampuan skuad kendaliannya mengatasi kesulitan untuk mara ke final Copa America dengan menyingkirkan penyandang juara, Chile, pagi tadi.
Peru melengkapkan kebangkitan daripada pasukan yang dimalukan tuan rumah Brazil 5-0 di perlawanan akhir peringkat kumpulan kepada calon juara selepas menewaskan Chile 3-0 dengan gol yang disumbangkan Edison Flores, Yoshimar Yotun dan Paolo Guerrero.
Sekali pun mara ke peringkat kalah mati selaku pasukan ketiga terbaik peringkat kumpulan, Peru membuat kejutan dengan menewaskan satu lagi calon juara, Uruguay di suku akhir menerusi penentuan penalti.
Kini, mereka di ambang untuk bergelar juara Amerika Selatan buat kali ketiga dan kali terakhir dimenangi pada 1975 serta dijadual bertemu Brazil pentas final di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, awal pagi Isnin ini.
“Kami mengharungi tempoh yang sukar di Copa dan kami layak untuk berada di final,” kata Gareca dari Argentina. 
“Kami berjaya mengharungi kesulitan selepas kekalahan kepada Brazil termasuk provokasi dan banyak kritikan keras,” kata Gareca menuding jari kepada layanan media Peru terhadap skuad kendaliannya.
Kapten Guerrero, yang tampil dengan watak tenang ketika menyumbat gol ketiga pada masa kecederaan menentang Chile berkata masih ada tugas yang perlu diselesaikan rakan sepasukannya.
“Perlawanan menentang Chile adalah aksi tetangga, perlawanan yang sukar. Kami melakukan persediaan yang baik dan memenanginya dengan hebat,” katanya.
“Kami mengekalkan tumpuan kami dan berada di final. Kini kami perlu berusaha keras dan berfikir mengenai Brazil. Ia akan menjadi perlawanan yang amat sukar.” - AFP

Comentários