Pular para o conteúdo principal

Jesus tak ragui kemampuan ledak gol

PENYERANG Brazil, Gabriel Jesus meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Argentina pada aksi separuh akhir Copa America di Stadium Mineirao, pagi tadi. - Foto AFP

BELO HORIZONTE, Brazil: Penyerang Brazil, Gabriel Jesus berkata dia tidak pernah meragui kemampuannya untuk meledak gol selepas membantu pasukannya menyingkirkan Argentina di separuh akhir Copa America, pagi tadi.
Jesus membuka tirai jaringan Brazil pada minit ke-19 berpunca hantaran Roberto Firmino sebelum mencipta umpanan terhadap penyerang Liverpool itu menyumbat gol kedua bagi membantu Selecao ke pentas final Copa America pertama sejak 2007 dengan kemenangan 2-0.
“Saya dapat rasakan yang saya akan menjaringkan gol. Saya tidak berkata seperti ini kerana saya sudah menjaringkan gol. Malah saya tidak menyatakannya sesuatu seperti ini sebelum ini,” kata penyerang Manchester City itu.
“Saya amat yakin... dan saya berupaya menjaringkan gol dan persembahan pasukan juga menakjubkan. Firmino melakukan umpanan yang amat bagus.
“Saya amat gembira, bukan saja kerana jaringan itu tetapi untuk pasukan... kami menjaringkan gol, dan kami gembira dengan perlawanan, mengenai komitmen, mengenai prestasi. Kami perlu bermain setiap perlawanan dengan semangat seperti ini.”
Jurulatih Brazil, Tite turut menghamburkan pujian terhadap kerja keras yang ditunjukkan Jesus yang gagal meledak gol dalam empat perlawanan sebelum ini.
Ia termasuk ketika kemenangan 5-0 Brazil menewaskan Peru di mana pemain berusia 22 tahun itu gagal menyempurnakan penalti.
“Gabriel mengejutkan semua orang yang bekerja dengannya kerana dia tidak pernah berputus asa,” kata Tite. “Orang memberitahunya ‘kamu perlu melupakan kesakitan dan berlari’ dan itulah saya minta untuk dia lakukan.
“Dia perlu memperbaiki jalan penyelesaiannya dan dia perlu berubah kerana dia masih muda, tetapi jika saya memintanya melakukan 50 rembatan, dia akan melakukan 51,” kata Tite yang turut memuji kekuatan mental dan sumbangan kaptennya, Dani Alves. - AFP

Comentários