PEMAIN Argentina membantah keputusan pengadil, Mario Diaz de Vivar melayangkan kad merah kepada Lionel Messi dalam aksi penentuan tempat ketiga menentang Chile di Arena Corithians, Sao Paulo, Brazil hari ini. - AFP
SAO PAULO - Layangan kad merah kontroversi yang diterima Lionel Messi membayangi kemenangan 2-1 Argentina ke atas Chile dalam penentuan tempat ketiga Copa America, sebentar tadi.
Perlawanan baru memasuki minit ke-37 ketika kapten Chile, Gary Medel mengeluarkan bola berhampiran pintu gol pasukannya.
Messi cuba mencabar dari belakang dan tindakan itu menimbulkan kemarahan Medel yang beberapa kali dilihat menolak penyerang Argentina tersebut dengan tangan.
Pengadil dari Paraguay, Mario Diaz de Vivar kemudian melayangkan kad merah kepada Medel.
Walaupun Messi hanya menahan Medel dengan dadanya, namun dia juga dibuang padang, dan itu menyebabkan pengadil diejek oleh penonton di stadium.
Tindakan pengadil itu juga menimbulkan kemarahan pemain Argentina hingga berlaku kekecohan, dan keadaan hanya kembali terkawal selepas lima minit.
Ini hanyalah kad merah kedua buat Messi sepanjang kariernya bersama skuad kebangsaan.
Ketika insiden berlaku, Argentina sudahpun mendahului 2-0 menerusi jaringan Sergio Aguero pada minit ke-12, diikuti gol Paulo Dybala, minit ke-22.
Perlawanan di Arena Corinthians berlangsung tegang apabila pertahanan Chile, Erick Pulgar bernasib baik hanya menerima kad kuning selepas memijak Leandro Paredes, dan insiden itu jelas lebih buruk daripada apa yang berlaku kepada Messi dan Medel.
Hanya 14 minit selepas babak kedua bersambung, Arturo Vidal merapatkan jurang 1-2 menerusi sepakan penalti. - AGENSI
Comentários
Postar um comentário