
REAKSI pengendali Peru, Ricardo Gareca (kiri) ketika pasukan bimbingannya menentang Brazil pada final Copa America, pagi tadi. - Foto EPA
RIO DE JANEIRO: Pasukan bukan pilihan, Peru sudah kali ketiga terlepas gelaran Copa America apabila tewas 1-3 di tangan tangan Brazil dalam final pagi tadi, namun jurulatihnya, Ricardo Gareca mengakui skuad itu berada di landasan terbaik untuk meningkat maju.
Meskipun Peru gagal memberi kejutan, namun sekurang-kurangnya pada aksi final pagi tadi, mereka berjaya memperaga peningkatan sekali gus mengelak nasib sama ketika dibelasah 5-0 oleh tuan rumah di peringkat Kumpulan, tempoh hari.
"Kami berada dalam keadaan bagus, meskipun masih kesakitan dengan kekalahan ini, tapi kami di landasan betul,” kata jurulatih dari Argentina itu.
"Apa yang penting kami sedar mesti melakukan peningkatan dan ia amat wajar...untuk menguatkan kami.”
Gareca berkata, Brazil layak muncul pemenang kali ini namun mengakui Peru sudah bertambah matang sejak diaibkan tempoh hari.
Begitupun dia kekal merungut betapa dia sukar memilih pemain berwibawa untuk membentuk skuad kebangsaan.
"Brazil ada1,000 pemain, kami hanya ada 50 saja. Uruguay pula ada 300 untuk dipilih,” kata jurulatih berusia 61 tahun itu.
"Kami perlukan lebih ramai pemain. Apabila kita ada ramai pemain, kita akan dapat kualiti tambahan, kuantiti menghasilkan kualiti.”

PASUKAN Peru menerima pingat pada final Copa America, pagi tadi. - Foto EPA
Gareca bagaimanapun tetap bangga dengan kekuatan Peru yang melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Russia tatkata juara Copa America musim 2015 dan 2016, Chile gagal berbuat demikian.
"Kami pasukan berpengalaman, bukan skuad ratahan," tegasnya.
"Hari ini kami datang ke sini untuk memenangi piala dan kami membuktikan kemampuan itu.”
Dalam pada itu, pemain sayapnya, Edison Flores mengakui ketajaman Brazil menjadi pemisah pasukannya apabila Everton memecah kebuntuan hasil hantaran Gabriel Jesus dan kemudian disamakan Paolo Guerrero menerusi penalti.
![]() |
PEMAIN Peru, Edison Flores mengelak dari dihalang pemain Brazil, Gabriel Jesus (kiri) pada aksi final Copa America, pagi tadi. - Foto REUTERS
Meskipun Brazil beraksi 10 pemain selepas Jesus dibuang padang, Richarlison melengkapkan malam gemilang buat Brazil menerusi penalti minit akhir yang juga gol ketiga tuan rumah.
"Jika kamu bercakap mengenai merit, kamilah yang berhak sepenuhnya, tapi apa boleh buat, mereka yang menyumbat gol menjulang piala,” kata Flores, yang masih menahan telinga susulan kritikan hebat ketika pasukan diketuainya tewas 0-5 di tangan Brazil.
"Tahun ini menyaksikan banyak perkara berlaku dalam pasukan ketika banyak pihak di Peru mengutuk pasukan ini. Tapi inilah kumpulan pemain yang hebat sebagai manusia biasa dan mereka berhak mendapat penghargaan saya.” – AFP
|
Comentários
Postar um comentário