PERU bukan pasukan pilihan yang berjaya melakar kejutan apabila mara ke pentas akhir Copa America 2019 selepas menundukkan Chile 3-0 pada aksi separuh akhir pagi semalam.
PORTO ALEGRE, Brazil - Ketua jurulatih Peru, Ricordo Gareca menjelaskan pasukannya layak untuk berentap pada pentas final berdasarkan usaha yang ditunjukkan setiap pemain ketika menyingkirkan Chile 3-0 pada peringkat separuh akhir Copa America di Arena Gremio awal pagi semalam.
Dalam aksi berkenaan, jaringan Edison Flores, Yoshimar Yotun dan Paolo Guerrero sudah cukup untuk membawa Peru beraksi di pentas final selepas kali terakhir mereka melakukan pencapaian sama pada 1975.
Keputusan berkenaan sekali gus menyaksikan Peru bakal melakukan perhitungan semula dengan Brazil dan berpeluang untuk membalas dendam setelah tewas 0-5 kepada skuad kendalian Tite dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
“Kami telah melalui detik-detik yang sukar dalam kempen Copa America kali ini dan berdasarkan reaksi yang ditunjukkan pasukan, Peru sememangnya layak berentap di pentas final.
“Pasukan melakukan perubahan yang baik selepas tewas kepada Brazil dalam aksi terakhir peringkat kumpulan selain berdepan kritikan hebat,” kata Gareca.
Sementara itu, kapten pasukan, Guerrero mengakui pasukannya telah melakukan persiapan rapi sebelum mencipta kemenangan ke atas Chile.
“Ia adalah pertembungan derbi dan sudah pasti kami melakukan persiapan sebaik mungkin untuk mencari kemenangan di peringkat separuh akhir.
“Sekarang, kami perlu mengekalkan momentum sedia ada dan ia perlu dibawa ke pentas final untuk berdepan Brazil,” katanya. – Agensi
Comentários
Postar um comentário