Pular para o conteúdo principal

Peru 'tenang' layan Brazil

PENYERANG Peru, Raul Ruidiaz.
RIO DE JANEIRO: Penyerang Peru, Raul Ruidiaz menegaskan pasukannya tidak akan terganggu dengan reputasi hebat tuan rumah Brazil yang menjadi lawan mereka di final Copa America, awal pagi Isnin ini.
Selepas diaibkan juara dunia lima kali itu 5-0 di peringkat kumpulan, Peru bangkit untuk menyingkirkan salah satu calon juara, Uruguay di suku akhir sebelum memalukan penyandang juara Chile di peringkat empat terbaik.
Justeru bagi Ruidiaz, 28, perlawanan ‘kedua’ menentang Brazil perlu diharungi tanpa rasa gentar semua pemain.
“Kami perlu mengharunginya dengan tenang. Benar yang kami mencapai sesuatu yang amat penting selepas bertahun-tahun lamanya,” kata Ruidiaz yang beraksi bersama kelab Seattle Sounders di Liga Major Amerika.
“Kami cukup sedar mengenainya yang kami hanya satu lagi langkah untuk mencapai kejayaan. Kami perlu bermain dengan sikap yang positif dan memberikan segala-galanya di atas padang bagi menjadikannya kenyataan.”
Selain Ruidiaz, antara pemain Peru yang turut ‘digeruni’ pemain Brazil ialah penyerang Paolo Guerrero.
Guerrero cukup dikenali di kalangan peminat Brazil selepas menghabiskan tempoh tujuh tahun di negara berkenaan dan menjadi tonggak Corinthians yang memenangi Piala Dunia Kelab 2012 menewaskan Chelsea.
Dia yang ketika ini beraksi bersama pasukan Internacional di Porto Alegre turut pernah membantu Sao Paulo memenangi Liga Brazil pada 2013 dan membantu Flamengo meraih kejuaraan sama empat tahun kemudian.
Sebagai rekod, ini kali kedua Peru beraksi di final Copa America selepas kali pertama melakukannya pada 1975 di laman sendiri, Caracas dengan menewaskan Colombia.
Kejuaraan pertama mereka pada 1939 juga di laman sendiri tidak memerlukan perlawanan final kerana ia berlangsung dalam format ‘round-robin’. - AFP

Comentários