Pular para o conteúdo principal

Rueda akui tiada jawapan

Pengendali Chile, Reinaldo Rueda. - Foto AFP
PORTO ALEGRE, Brazil: Pengendali Chile, Reinaldo Rueda seperti kehilangan kata-kata ketika mengulas prestasi longlai pasukannya yang tumbang 0-3 kepada Peru di separuh akhir Copa America, pagi tadi.
Chile yang tiba selaku penyandang juara tampil dengan prestasi positif ketika melepasi peringkat kumpulan selaku naib juara sebelum menyingkirkan Colombia di peringkat suku akhir menerusi penentuan penalti.
Begitupun, skuad yang dibarisi pemain bintang seperti penyerang Manchester United, Alexis Sanchez dan pemain tengah Barcelona, Arturo Vidal itu dikejutkan pasukan bukan pilihan, Peru sekali gus gagal mengulangi kejayaan yang diraih pada edisi 2015 dan 2016.
“Saya tidak tahu faktor apa yang mempengaruhi kami dan 20 minit pertama menunjukkan perbezaannya,” kata pengendali kelahiran Colombia itu.

“Kami tidak memperoleh permainan yang diharapkan, kami tidak menunjukkan sikap atau tidak agresif seperti perlawanan sebelum ini. Secara mental kami mahu bermain di final tanpa mengharungi langkah pertama ini dan Peru mengejutkan kami.”
Rueda begitupun memuji aksi hebat yang ditunjukkan penjaga gol Peru, Pedro Gallese.
Selepas dilabel ‘punca’ ketika kekalahan 0-5 memalukan Peru kepada Brazil, Gallese tampil dengan aksi menyelamat hebat termasuk menafikan penalti Eduardo Vargas.
Sementara itu, kapten Chile Gary Medel menegaskan pasukannya masih pulang dengan penuh rasa bangga selepas memenangi dua edisi Copa America sebelum ini.
“Kami memperoleh banyak peluang pada babak kedua tetapi gagal menyempurnakannya. Kini kami perlu bersaing bagi tempat ketiga dan akan memberikan segala-galanya menentang Argentina,” katanya.
“Tiada apa lagi yang boleh dikatakan. Sentiasa ada (peluang) untuk membalas dendam dalam bola sepak dan kami perlu kekal positif dan mengambil manfaat daripada kejohanan ini. Apa yang kami lakukan dengan buruk, apa yang kami buat dengan baik.
“Kami mengharungi kejohanan yang hebat. Tidak mudah untuk memenangi Copa America, dan kami melakukannya dengan cara terbaik.” - AFP

Comentários