
JURULATIH Brazil, Tite. - Foto AFP
RIO DE JANEIRO: Jurulatih Brazil, Tite bertegas akan menghormati kontraknya tanpa mengira keputusan perlawanan final Copa America menentang Peru, awal pagi esok selepas timbul khabar angin beliau ingin melepaskan jawatannya.
Tite memberi penjelasan ringkas kepada wartawan membabitkan masa depannya ketika Brazil bersedia untuk memenangi kejuaraan utama pertama dalam tempoh 12 tahun.
“Kontrak saya sehingga 2022 dan saya akan menghormatinya,” kata pengendali berusia 58 tahun itu selepas timbul laporan yang mengatakan dia berang dengan beberapa staf pengurusannya.
Dia turut menyatakan berita berkenaan sebagai palsu.
“Saya tidak percaya kritikan bermakna kamu menentang seseorang. Kritikan adalah disebabkan perbezaan pendapat. Satu-satunya yang saya persoalkan ialah maklumat yang salah. Apabila kamu melakukan komen berdasarkan maklumat yang salah, ia sama ada disebabkan oleh tidak cekap atau berniat jahat.”
Sekali pun sudah bergelumang di arena pengurusan selama hampir 30 tahun, Tite berkata dia masih mempelajari sesuatu setiap hari.
“Untuk berdepan dengan kamu wartawan adalah pembelajaran yang berterusan, apabila saya bertukar-tukar pendapat dan idea dengan Cleber (Xavier - pembantu pengurus), apabila saya berinteraksi dengan pemain,” katanya.
“Saya melakukan beberapa kesilapan tetapi keinginan untuk belajar dan menilainya semua adalah kelebihan yang saya ada,” katanya sambil menambah membimbing pasukannya mengharungi aksi final utama di Stadium Maracana sebagai detik yang tidak akan dilupakan.
“Ketika saya bermain, saya benar-benar menjadi pemain apabila saya beraksi di Maracana. Kini saya adalah jurulatih dan saya akan melatih pasukan di ‘tempat suci’ bola sepak dunia. Saya tidak begitu merasainya ketika bergelar pemain tetapi ia amat beremosi, sekali pun ia tidak boleh dibandingkan dengan Piala Dunia.” - AFP
Comentários
Postar um comentário