Pular para o conteúdo principal

Vidal tak dendam, Peru bakal dapat 'ciuman'

Arturo Vidal sudah melupakan kekalahan Chile di tangan Peru. - Foto Reuters

PORTO ALEGRE, Brazil: Arturo Vidal sudah melupakan kekalahan Chile di tangan Peru dalam aksi persahabatan dan menganggap perlawanan itu tidak memberi impak psikologi ke atas mereka ketika berdepan lawan sama di separuh akhir Copa America, pagi esok.
Oktober lalu, Peru menewaskan Chile 3-0 dalam aksi persahabatan di Florida, Amerika Syarikat.
Gol sendiri Enzo Roco dan dua gol lewat babak kedua jaringan Pedro Aquino memadai buat Peru melakar kejutan ke atas Chile sekali gus menamatkan enam kejayaan sederet Vidal dalam siri persahabatan itu.
Selain Vidal, pemain berpengalaman lain Mauricio Isla dan pemain tengah Gary Medel dan Guillermo Maripan antara bintang yang berdepan kekalahan itu dan pasti tertekan berdepan Peru sekali lagi di Stadium Arena do Gremio, di sini, esok.
Namun dengan berbekal selaku juara bertahan Copa America, Vidal yang juga pemain tulang belakang Barcelona mengakui kehadiran mereka kali ini berbeza.
"Pertama, ini bukanlah untuk membalas dendam,” kata Vidal.
"Perlawanan persahabatan itu hanya untuk menyiapkan pemain untuk pemilihan ke pasukan kebangsaan, ia untuk menguji pemain.
"Apa yang berlaku ketika menentang Peru adalah perkara biasa dalam bola sepak dan kami tiada perasaan buruk ke atas mereka.
"Perlawanan kali ini berbeza, ini aksi separuh akhir dan ia menjadi bersejarah buat kami jika ke final. Itu saja matlamat kami ketika ini.”
Chile berada di landasan terbaik untuk mengekalkan status mereka sebagai Raja Amerika Selatan sejurus menyingkir Colombia menerusi penentuan penalti di suku akhir tempoh hari.
Peru pula yang muncul pasukan tangga ketiga Kumpulan mengejutkan Uruguay menerusi penentuan penalti dan kini hanya terpisah 90 minit untuk berdepan Brazil yang baru saja menewaskan Argentina 2-0 di separuh akhir sebentar tadi.
"Kami berada dalam posisi yang tepat untuk mengharungi saingan kejohanan ini,” kata Ketua Jurulatih Peru, Ricardo Gareca.
"Mungkin ia perlawanan lebih besar berbanding sebelumnya tapi kami mampu beraksi lebih baik kali ini.”
Dalam pada itu, pelakon jelita Peru, Stephanie Cayo menawarkan insentif luar biasa kepada pemain bola sepak negaranya jika mereka melangkah ke final dengan memberi ‘ciuman’ kepada setiap pemain.
“Kami ingin memberi ciuman kepada pasukan kebangsaan Peru.
“Saya sudah berfikir dengan serius untuk memberi ciuman (hanya dengan keizinan), kepada sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menewaskan Chile,” kata pelakon wanita berusia 31 tahun di akaun Twitternya yang mempunyai hampir 800,000 pengikut.
Tawaran Cayo itu mendapat 8,000 tanda suka dan lebih 7,000 komen. - Agensi

Comentários