Pular para o conteúdo principal

Willian terlepas aksi final

PEMAIN tengah Brazil, Willian (tengah) ketika aksi menentang Argentina.
PEMAIN tengah Brazil, Willian (tengah) ketika aksi menentang Argentina. - AFP
BELO HORIZONTE - Willian bakal terlepas aksi final Copa Amerika menentang Peru pada Ahad ini selepas mengalami kecederaan hamstring.
Pemain tengah Brazil itu dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang musuh tradisi, Argentina pada aksi separuh akhir yang menyaksikan pasukannya melakar kemenangan 2-0 untuk mara ke pentas final, semalam.
Jurucakap Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) berkata Willian mengadu ‘sakit di bahagian hamstring’ dan laporan perubatan mendapati dia mengalami kecederaan otot.
CBF mengesahkan tempoh pemulihan memerlukan masa agak lama bermakna Willian terpaksa melupakan aksi final.
Juara lapan kali Copa America, Brazil mara ke final ke-20 mereka tetapi kejuaraan terakhir diraih gergasi Amerika Selatan itu ialah pada 2007 dengan menundukkan Argentina 3-0.
Willian tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi kelima-lima perlawanan untuk Brazil setakat ini tetapi dimasukkan sebagai pemain gantian bagi empat aksi termasuk ketika menewaskan Peru 5-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
Dia yang memiliki 69 penampilan bersama skuad kebangsaan turut menyempurnakan penalti ketika Brazil menyingkirkan Paraguay di suku akhir. - AFP

Comentários